KUALA LUMPUR – Pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu, diharap akan terus membawa kemajuan dan keamanan di negara ini.
Rata-rata masyarakat dari segenap lapisan agama, kaum dan latar belakang percaya, pelantikan Sultan Abdullah ini dapat memastikan nasib rakyat dan kemakmuran negara terus terbela.
Di NEGERI SEMBILAN, bekas Ketua Kampung Batu 17, Chembong, Rembau, Ramli Rasip, 67, berkata pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu ini akan dapat memacu kemajuan negara dan rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik di samping memastikan keamanan terus berkekalan.
Pekerja swasta, K. Mariappan, 74, pula berkata, rakyat perlu terus menghormati pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengikut lunas Perlembagaan sekali gus bertepatan dengan kebesaran dan kepentingan institusi diraja di negara ini.
Seorang peniaga, Leong Weng Onn, 69, berharap Sultan Abdullah dapat memastikan nasib rakyat terus terbela dan memastikan kemakmuran negara ini dapat dinikmati setiap rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama.
Sementara itu di KUCHING, rakyat Sarawak rata-rata berharap pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu itu akan menjadi cahaya baharu dalam usaha merapatkan jurang perbezaan daripada sudut integrasi nasional antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.
Pengawal keselamatan, Ronny Harry, 36, berharap Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan menjadi seorang raja yang penyayang, seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap kemahuan-kemahuan dan masalah-masalah rakyat jelata.
Bersependapat dengannya, seorang bekas penjawat awam, Mohd Affandi, 57, juga berharap Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan bersikap tegas dalam menasihati kerajaan baharu dalam mentadbir negara demi memastikan rakyat memelihara keamanan dan kestabilan dalam negara, selain mengurangkan pertelagahan dalam kalangan ahli politik dan rakyat.
Seorang kerani, Irwan Abdullah, 27, turut berdoa agar Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan bersikap sebagai seorang bangsawan mulia dan adil, yang boleh dijadikan contoh yang baik, disukai rakyat dan boleh memainkan peranan dalam mengatasi masalah-masalah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia adalah antara isu penting bagi rakyat Sarawak.
Azerina Sabri, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan berkata beliau mahu melihat usaha-usaha diambil, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, untuk menambah baik bidang pendidikan seperti penggunaan teknologi baharu dalam pembelajaran. – BERNAMA