POLIS akan jalan siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua individu dipercayai pembantu peribadi usahawan kosmetik, Nur Sajat atau Muhammad Sajat dengan seorang jurujual.
Insiden yang tular menerusi media sosial dan dikutuk ramai netizen itu dipercayai berlaku di sebuah farmasi di pusat beli-belah di Jalan Ampang di ibu negara kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, kedua-dua pihak telah pun membuat laporan polis berhubung kejadian sejurus kejadian itu.
“Sehubungan itu, kita akan siasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Shaharudin mengulas video tular melalui laman sosial sejak semalam mengenai insiden pergaduhan antara pembantu peribadi Sajat dengan jurujual berkenaan.
Dalam video berdurasi satu minit dua saat itu menunjukkan seorang individu bertindak sebagai perakam manakala seorang lagi secara tiba-tiba menyerang jurujual terbabit ketika dia sedang bekerja.
Jurujual berkenaan kemudiannya ditampar dan kemudian berlaku aksi tarik rambut antara mereka sebelum pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam. – Agensi/Mynewshub.TV