LUTON – Seorang pencuri bersiri akhirnya tewas apabila tabiat memakan aiskrim membolehkan polis mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki itu pada sudu yang ditinggalkannya.
Paul Hayman, 36, dihukum penjara selama 65 bulan di Mahkamah Diaraja Luton selepas mengaku memecah masuk empat kediaman di sini pada bulan Jun dan Julai lalu di samping dua cubaan yang gagal.
Disebabkan bahang panas, Hayman dipercayai cuba menyejukkan badan dengan memakan aiskrim milik mangsanya, malah dirakam kamera keselamatan sedang menikmati makanan itu sambil meninjau melalui tingkap, mengelilingi taman dan di dalam rumah mangsanya.
Polis yang menerima laporan pecah rumah menemui dua bekas aiskrim dan satu sudu penuh dengan DNA Hayman di hadapan rumah salah seorang mangsanya.
Pencuri bersiri itu akhirnya ditangkap polis yang menemuinya ketika cuba memecah masuk ke sebuah rumah lain di kawasan berhampiran. – Agensi