JAKARTA – Seorang pengemis yang ditahan dalam operasi pihak berkuasa pada Sabtu lalu mengaku memiliki rumah, tanah dan simpanan dalam bank, bernilai hampir setengah juta ringgit malah ketika ditangkap mempunyai 695,000 rupiah (RM202) dalam poketnya hasil ‘kerja’ pada hari itu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Udhi Harsilo Nugroho yang mengetuai operasi berkata, lelaki dikenali sebagai Legiman, 52, itu ditangkap ketika operasi terhadap pengemis dan gelandangan dilakukan polis sivil di Simpang Lima, Pati, Jawa Tengah, lapor Tribun News.
“Ketika disoal, dia mendakwa memiliki rumah bernilai 250 juta rupiah (RM73,000), tanah bernilai 275 juta rupiah (RM80,000), selain simpanan dalam bank berjumlah 900 juta rupiah (RM262,000),” katanya.
Menurutnya, lelaki itu ditemui dengan 695,000 rupiah hasil kutipan hari itu.
“Kami menghitung jumlah keseluruhan diraihnya minggu lalu berdasarkan maklumat diberikan dan merumuskan dia menerima sehingga 1,043,000 rupiah (RM291) sehari.
“Pada malam tangkapan itu saja dia dapat 695,000 rupiah malah katanya itu tidak banyak kerana lazimnya dia mampu dapat lebih banyak. Namun cuaca hujan menyebabkan tidak ramai orang keluar. Jangan disangka pengemis tidak berwang,” katanya.
Udhi berkata, ada antara pengemis yang ditahan dalam operasi berkenaan mempunyai buku simpanan wang dan kad mesin pengeluaran wang (ATM).
Menurutnya, Legiman dan penduduk di situ diberi peringatan bahawa mengemis dan memberi wang kepada pengemis adalah kesalahan undang-undang.
Selain Legiman, tiga pengemis lain turut ditahan dalam operasi berkenaan malah seorang daripada mereka membawa anak perempuan mengemis bersama, selain ada yang membawa senjata tajam.
Udhi berkata, pihaknya cuma merampas senjata tajam manakala wang hasil kutipan dipulangkan kepada pengemis terbabit sebelum mereka dihantar pulang dengan jaminan tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, lapor Jawa Pos. – Agensi