RATU skuasy Malaysia, Datuk Nicol David memulakan kempen dengan meraih kemenangan untuk mara ke pusingan ketiga Kejohanan Juara-Juara 2019 di New York, Amerika Syarikat pada Sabtu (Ahad di Malaysia).
Nicol, juara 2014 dan pilihan ke-11, yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pembukaan, menewaskan juara remaja dunia, Rowan Elaraby dari Mesir; 11-9, 11-7 dan 13-11 dalam aksi pusingan kedua berlangsung kira-kira 33 minit, demikian menurut laman sesawang kejohanan; www.tocsquash.com.
Jaguh negara itu akan berdepan pemain nombor empat dunia, Joel King di pusingan ketiga pada Isnin ini (Selasa di Malaysia) selepas pemain New Zealand itu mengalahkan pemain muda Mesir, Zeina Mickawy; 11-9, 9-11, 11-8 dan 11-1 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Seorang lagi pemain Malaysia, Low Wee Wern, bagaimanapun tersingkir daripada kejohanan itu selepas tumpas 4-11, 5-11, 11-5 dan 6-11 kepada pemain pilihan keenam, Nouran Gohar dari Mesir.
Dalam pada itu, juara kebangsaan, S. Sivasangari akan menentang pilihan ke-15, Salma Hany dari Mesir pada lewat Ahad ini.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam kategori lelaki pada kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berstatus Platinum itu. – BERNAMA