RASMI… Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga menetapkan hari penamaan calon bagi PRK yang kelima pasca Pilihan Raya Umum (PRU) itu pada 16 Februari, manakala hari pengundian awal pada 26 Februari depan.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac depan,” kata Azhar pada sidang media khas di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.
Mesyuarat khas itu yang julung kali tanpa ada timbalan pengerusi SPR dan lima ahli suruhanjaya tersebut namun dikritik pelbagai pihak kerana beliau buat keputusan tarikh PRK kali ini berdasarkan pandangan pegawainya sahaja.
Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa SPR menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi DUN Semenyih pada Isnin lalu berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor pada 11 Januari lepas.
Allahyarham yang berusia 57 tahun meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung. PRK itu juga adalah keempat di Selangor selepas DUN Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.
Pada PRU ke-14 lalu, Bakhtiar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mewakili Pakatan Harapan menewaskan calon BN, PAS dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan raih majoriti cuma 8,964 undi.
Allahyarham yang juga Ketua Bahagian PPBM Hulu Langat dilaporkan sekadar memperoleh 23,428 undi. BN dijangka letak calon pada PRK kali ini setelah PAS beri laluan untuk bertanding. – Agensi/Mynewshub.TV