FENOMENA… Seakan-akan menjadi trend apabila netizen berlumba-lumba melemparkan kecaman menerusi komen yang dilayangkan di laman-laman sosial pada masa kini.
Manakan tidak, mungkin dek terlalu rasa sayang dan fanatik terhadap seseorang artis, menyebabkan segelintir peminat terarah untuk menyebelahi idola mereka tersebut.
Bukan setakat itu, teguran dan nasihat yang mungkin hanya bertujuan untuk mengingatkan antara saudara sesama Islam turut menerima kecaman serta kritikan hebat sebagai tanda rasa tidak puas hati.
Itu antara perkara yang pernah dan akan dilalui seseorang yang bergelar pendakwah dalam usaha menyampaikan ilmu dan perkara yang jelas bertentangan dengan syarak.
Terbaharu, pendakwah terkenal yang juga merupakan juara program Pencetus Ummah musim ketiga, PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak, 39, turut tidak terlepas daripada menerima kecaman dan kritikan hebat netizen gara-gara menegur pasangan suami isteri, figura Fazura dan Fattah Amin.
“Saya tidak mempunyai niat lain. Sebelum ini, saya menegur artis-artis tanpa mengaib atau memalukan mereka dengan cara menyampaikan mesej secara terus melalui laman sosial mereka, tetapi tiada sebarang respons.
“Apabila kita tegur secara terbuka, maka hamburan kata-kata keji disembur semula kepada kita dengan mengatakan mereka (artis) telah diaibkan,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Tambahnya, teguran yang diberikan adalah bersifat serampang dua mata yang mana ia diberikan secara khusus kepada pasangan popular itu dan juga umum.
Meskipun caranya itu dikritik dan dikecam, namun ia tidak membuatkan dirinya berputus asa apatah lagi bertindak untuk berhenti menjalankan kerja-kerja berkaitan dakwah.
“Saya akui mungkin ada kesilapan sendiri kerana tidak membuat usul periksa terlebih dahulu mengenai artikel yang dikeluarkan sebuah akhbar arus perdana (bukan Kosmo!) mengenai pasangan tersebut.
“Mungkin itu salah saya kerana terus bertindak memberikan komen secara spontan tanpa menghubungi pihak-pihak tertentu,” ujarnya yang turut mengatakan tidak menyangka terdapat sebarang penyelewengan fakta yang dikeluarkan akhbar tersebut.
Tegasnya, sebelum ini, dia turut lantang menegur beberapa artis dan selebriti lain menerusi mesej secara terus di laman sosial kerana mendapati mereka melakukan perbuatan menyalahi syarak, malangnya dia tidak mendapat sebarang respons daripada artis berkenaan, sebelum bertindak menegur artis kini secara terbuka pula.
Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai tajuk berita di sebuah akhbar yang mengatakan Fattah tidak kisah sekiranya isteri kesayangannya itu melakukan adegan seksi dalam klip video tersebut.
Pelbagai spekulasi timbul hanya kerana laporan yang didakwa tidak betul itu sehingga pendakwah PU Syed tampil mempersoalkan tanggungjawab Fattah sebagai suami yang dikatakan tidak melarang isterinya melakukan adegan seksi berkenaan.
Ironi, Fazura tampil dan menjelaskan tiada sebarang aksi seksi yang terlibat tetapi Fattah hanya meluluskan ayat seksi yang ada dalam lirik lagu single terbaharunya, Can’t Forget Me yang sudah berada di YouTube bermula 18 Januari lepas.
Lebih menghangatkan keadaan, Fattah dengan rasa penuh kesal turut tampil mengeluarkan status menerusi akaun Instagramnya dengan menyifatkan tindakan pendakwah itu mengundang fitnah dan cacian masyarakat terhadap mereka suami isteri.
Tambah status tersebut, apa salahnya untuk menghubungi dia secara langsung bagi mendapatkan kepastian sebelum membuat teguran secara terbuka itu.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, Fattah mengakui terharu dengan sokongan yang diberikan oleh para peminat dan pengikutnya serta mengucapkan terima kasih kerana memahami apa yang sedang berlaku. – Kosmo!