JAKARTA – Sekurang-kurangnya 16 orang cedera, manakala beratus-ratus buah kediaman rosak selepas puting beliung melanda wilayah Jawa Barat di barat Indonesia, lapor agensi bencana negara ini semalam.
Bencana alam tersebut telah memusnahkan lebih 371 buah kediaman di perkampungan Jelagong dalam daerah Bandung hingga menyebabkan penduduk lari menyelamatkan diri, kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho kepada agensi berita Xinhua.
“Skala impak bencana itu kelihatan semakin meluas ketika penilaian risiko mula dijalankan,” katanya.
Beberapa buah khemah sementara telah didirikan untuk menempatkan mangsa, tambahnya tanpa memberikan jumlah sebenar penduduk kampung yang dipindahkan.
Khemah, kain tarpaulin, air bersih dan makanan adalah antara keperluan utama mangsa bencana buat masa ini, tegas Sutopo.
Indonesia kerap dilanda puting beliung, fenomena cuaca yang membentuk pusaran angin menegak dihasilkan akibat pergolakan dan ketidakstabilan udara, susulan peningkatan suhu serta kecerunan aliran angin. – BERNAMA