LEBIH sedekad lalu, rangkaian restoran Cina Muslim tempatan yang terkenal iaitu Restoran Mohd Chan beroperasi pada asalnya hanya sebuah kedai kecil di Bukit Beruntung, Selangor.
Kini dengan 18 buah cawangan di Lembah Klang, perniagaan restoran halal yang diasaskan oleh Datuk Mohd. Chan Abdullah menarik kunjungan ramai pelanggan termasuk bukan Muslim sendiri.
Begitulah kejayaan hasil titik peluh Mohd Chan, selepas peluk Islam. Restorannya bukan sahaja perkenal aneka menu Cina, bahkan ubah persepsi mengenai segelintir masakan kaum itu yang lazimnya guna bahan tidak halal.
Berkongsi pengalamannya bergelar mualaf, usahawan berasal dari Gombak, Selangor dan berusia 65 tahun ini menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memaksa ahli keluarganya yang lain untuk memeluk Islam.
Namun apa yang lebih mencabar bagi Mohd. Chan adalah meyakinkan masyarakat sekeliling bahawa agama Islam yang dianuti beliau bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah.
“Sudah 11 tahun saya masuk Islam, saya pakai kopiah ke mana saja saya pergi dan tidak pernah tanggalkan. Kenapa? Sebab dulu pada mula ramai tidak percaya saya sudah Islam, lebih-lebih lagi bila mahu buka restoran Cina Muslim.
“Macam mana nak beritahu saya seorang Muslim, soal saya dalam hati. Letak satu kopiah, itu yang mereka boleh lihat secara luaran. Tapi bagi diri saya, dalaman saya adalah amalan dan ajaran Islam yang saya ikuti.
“Ini terutama solat lima waktu sehari,” katanya kepada portal mStar Online di restorannya di Sunway Geo Avenue, Bandar Sunway, baru-baru ini. Antara hidangan di restorannya yang terkenal ialah dim sum.
Bapa tiga anak ini berkata dia tertarik dengan Islam kerana disiplin dalam ajarannya, seperti kewajipan tunaikan solat.
Dia juga menyifatkan gayanya berkopiah tidak pernah silap, malah sedikit-sebanyak memberi pengaruh kepada keluarganya mengenai keistimewaan agama Islam.
“Mereka tidak tertanya-tanya atau berasa hairan kenapa saya memakai kopiah, mungkin mereka sudah boleh meneka mengapa saya sering bergaya sedemikian.
“Saya fikir ia adalah cara untuk mempengaruhi mereka. Setiap hari pakai kopiah ke mana-mana, bila-bila masa kecuali apabila mahu mandi, jadi sudah terbiasa dengan keadaan ini sehingga sekarang.
“Selepas saya bergelar mualaf, isteri memeluk Islam tiga bulan kemudian. Anak-anak saya pula mengikut jejak langkah saya dengan pilihan mereka sendiri secara berperingkat. Malah, dua menantu juga membuat keputusan yang sama. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Anak lelaki Mohd Chan iaitu Datuk Nik Chan turut mengakui bapanya bukan sahaja idola untuk menjadi seorang ahli perniagaan berjaya, bahkan mempengaruhinya mencintai Islam.
Walaupun satu keputusan yang amat besar, tetapi Nik Chan yakin pilihannya memeluk Islam pada 2009, ketika itu berusia 25 tahun dan masih lagi bujang.
“Dulu, kami tinggal serumah jadi apa yang dilakukan ayah sentiasa diperhatikan kami sekeluarga. Saya tertanya-tanya kenapa ayah sering pergi solat, apa yang dia buat.
“Kemudian saya mendapati agama ini berdisiplin sehingga membuatkan saya minat tentang Islam. Semuanya berlaku secara spontan dan saya hanya berjumpa ayah dan beritahu ‘saya nak masuk Islam macam mana, nak pergi mana?’ Ayah pun tak bertanya mengenai keputusan saya.
Syukur, ayah membantu walaupun dia juga baru memeluk Islam ketika itu,” katanya yang merupakan pengarah Mohd Chan Food Sdn Bhd.
Nik Chan yang kini berusia 34 tahun memberitahu, beliau tidak pernah bertanyakan sebab bapanya berkopiah bukan kerana bimbang dimarahi tetapi cuba untuk memahaminya.
Bagi anak bongsu ini, bapanya masih menjalankan tanggungjawab kepada keluarga dan kepastiannya mengenai agama baharu bapanya apabila rumah dan restoran mereka sering didatangi guru agama.
“Ustaz selalu datang ke rumah atau restoran untuk mengajar ayah terutama mengaji al-Quran. Sebenarnya sebelum saya masuk Islam, saya sudah tahu baca al-Fatihah sebab bila ustaz ajar ayah, saya ada di sebelah dan dengar dia belajar membaca dan mengaji.
“Saya tak menghafalnya, tapi bila hampir setiap hari dengar, saya sudah boleh ingat meskipun tidak tahu maksudnya atau adakah betul sebutan itu,” ujarnya yang tidak menyangka dapat membaca al-Fatihah sedikit demi sedikit meskipun tidak lancar.
Selepas memeluk Islam, Nik Chan berkata, beliau kemudian mendalami bacaan al-Fatihah bersama surah-surah yang lain dengan mengikuti kursus dan kelas agama.
“Bila saya sudah masuk Islam, saya hanya mengikut ajaran yang ditetapkan dalam Islam. Pemikiran adalah penting, jangan berfikir secara negatif.
“Seperti yang ayah beritahu kami sekeluarga bahawa Islam itu indah. Kita tidak perlu mengubah diri kita hanya kerana bertukar agama tetapi ajaran Islam itu yang harus dipatuhi sampai bila-bila,” katanya. – Mynewshub.TV