BERSEJARAH… Rakyat Pahang secara rasminya akan menerima ketua negeri yang baharu apabila Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam dalam istiadat yang akan berlangsung di Bandar Diraja, Pekan, hari ini.
Majlis yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada pukul 11 pagi itu mencatat sejarah penting bagi Pahang selepas kali terakhir istiadat itu diadakan 45 tahun yang lalu, sempena pemasyhuran ayahandanya, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar pada 7 Mei 1974.
Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang diputuskan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang selepas bermesyuarat pada Jumaat lalu.
Majlis itu sebulat suara bersetuju Sultan Abdullah dimasyhurkan menggantikan ayahandanya, yang kini dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.
Sultan Abdullah, 59, sebelum ini memangku jawatan Sultan Pahang sejak 28 Disember 2016.
Tinjauan Bernama di Istana Abu Bakar semalam mendapati persiapan sedang giat dilakukan petugas dan pegawai istana serta jabatan yang berkenaan bagi memastikan istiadat bersejarah itu berjalan lancar walaupun diadakan dalam tempoh yang singkat.
Sultan Abdullah turut mengunjungi Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada petang semalam bagi meninjau raptai yang diadakan untuk istiadat pemasyhuran itu.
Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat persiapan istiadat berkenaan.
Turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman; Tengku Ariff Temenggong Pahang, Tengku Abd Fahd Muadzam Shah, serta anak-anak baginda.
Tinjauan Bernama juga mendapati laluan utama ke Istana Abu Bakar dihias indah dengan bendera negeri Pahang yang berkibaran di kiri kanan jalan menuju ke istana.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dr. Sallehuddin Ishak mengesahkan tiada pengisytiharan cuti peristiwa diberikan sempena istiadat itu hari ini.
Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan merupakan cahaya mata keempat pasangan dan juga putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Afzan Tengku Muhammad.
Baginda merupakan seorang yang cukup arif dalam selok belok hal ehwal pentadbiran negeri kerana sudah menjadi Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun setelah secara rasmi dilantik sebagai Waris Ganti pada 1 Julai 1975, iaitu sehari selepas beliau genap berusia 16 tahun.
Baginda juga sudah dua kali dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun ketika berusia 20 tahun, apabila Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).
Kewibawaan yang ditunjukkan itu menyebabkan Sultan Ahmad Shah sekali lagi melantik anakandanya menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 Disember 2016 selepas kesihatan baginda mula merosot.
Sultan Abdullah mendirikan rumahtangga dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986. Baginda dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu masing-masing empat putera dan lima puteri. – Agensi