LONDON – Seorang remaja lelaki warga Vietnam berusia 15 tahun yang menjadi ‘raja ganja’ di negara ini dipenjarakan selama 15 bulan oleh Mahkamah Diraja Teesside dekat sini baru-baru ini.
Tertuduh yang tidak didedahkan identitinya ditahan polis ketika sedang tidur di sebuah pangsapuri di Hartlepool tahun lalu kerana disyaki mengendalikan sebuah kebun ganja bernilai £200,000 (RM1.08 juta).
Remaja terbabit mendakwa dirinya mangsa pemerdagangan manusia dari Vietnam dan dipaksa menjaga 168 tumbuhan itu selama dua bulan.
Dia mendakwa pernah dihantar ke Rusia dan Perancis, malah kononnya pernah ditangkap polis di Warwickshire ketika cuba diseludup masuk ke Britain menaiki lori. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Wood berkata, tiada rekod polis berhubung penahanan lori seperti didakwanya,
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas dua hari perbicaraan selain mendapati tertuduh bercakap bohong bahawa dirinya mangsa perhambaan moden. Dia akan dipindahkan ke pusat tahanan pendatang tanpa izin selepas menjalani separuh daripada hukumannya. – Agensi