HELSINKI – Sebuah kedai bakeri di sini mula menjual roti diperbuat daripada ‘serbuk cengkerik’ yang didakwa sangat ‘lazat’ tetapi kebanyakan pengguna media sosial Barat belum bersedia mencubanya.
Kedai roti Fazer Bakery dilaporkan menggunakan 70 ekor cengkerik kering bagi setiap buku roti dengan melumatkan serangga itu menjadi halus seperti tepung gandum.
“Cengkerik itu dalam bentuk serbuk dan telah dihancurkan untuk menghasilkan doh sebelum dibakar menjadi pelbagai jenis produk roti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Fazer Bakery, Markus Hellstrom kepada portal berita Cision.
Hellstrom berkata, syarikatnya mahu menjadi perintis revolusi makanan, manakala Roti Cengkerik Fazer menjadi contoh terbaik kemampuan mereka menghasilkan pelbagai jenis hasil bakeri.
Laman web Food Insider melaporkan lebih 2 bilion penduduk dunia menjadikan serangga sebagai makanan kerana haiwan itu kaya dengan asid lemak, kalsium, besi dan vitamin B12. – Agensi