JAKARTA – Seorang pakar haiwan ditemui mati dipercayai akibat dibaham seekor buaya bersaiz besar di sebuah pusat penyelidikan di wilayah Sulawesi Utara pada pagi Jumaat lalu.
Mangsa, Deasy Tuwo, 44, dipercayai diheret masuk ke dalam kolam kurungan itu oleh seekor buaya sepanjang 5.2 meter di bandar Tomohon. Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang beri makan daging kepada reptilia itu.
Pihak berkuasa percaya buaya dinamakan sebagai Merry itu berdiri menggunakan kaki belakang dan melompat pada dinding setinggi 2.5 meter untuk membaham sebelum mengheret Deasy ke dalam kolam.
Selain badan mangsa yang ditemui dalam keadaan terapung di dalam kolam tersebut, cebisan mayatnya turut dijumpai di dalam mulut Merry.
“Pada mulanya kami melihat ada suatu objek terapung di dalam kolam Merry dan kami sedar itu adalah mayat Deasy. Kami tidak berani mengeluarkan mayatnya dan segera menghubungi Balai Polis Tombariri.
“Ada kemungkinan buaya itu melompat dari bahagian tepi tembok dinding itu. Mungkin Merry masih kenyang kerana ia tidak makan keseluruhan mayat Deasy,” kata rakan sekerja mangsa, Erling Rumengan.
Deasy ialah ketua saintis di pusat penyelidikan tersebut. Dia dikenali dengan sikap pendiam dan penyayang terhadap pelbagai hidupan liar.
Merry ditangkap kelmarin dan dibawa ke sebuah pusat perlindungan hidupan liar di Bitung untuk memeriksa perutnya.
Polis memaklumkan mereka sedang cuba mengesan pemilik asal buaya itu dipercayai seorang ahli perniagaan Jepun yang membuka pusat penyelidikan tersebut. Bagaimanapun, pemilik buaya itu tiada di situ ketika kejadian berlaku.
“Kami perlu mengesahkan sama ada ahli perniagaan itu ada kebenaran memiliki buaya dan hidupan akuatik lain yang mahal dalam syarikatnya. Jika tiada permit, dia akan ditahan,” kata Ketua Polis Tomohon, Raswin Sirait. – Agensi