TUKANG masak terkenal Chef Wan membuat permohonan maaf selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi mahu menampar muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad.
Menerusi laman Instagramnya pada Isnin, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail mengakui kenyataan itu dibuat dalam keadaan marah.
“Kepada Datuk Seri Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana saya gunakan bahasa kasar di waktu saya merasa amat marah!
“Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri untuk mengaku kesilapan diri kita seperti yang saya lakukan pagi ini. Ya saya mengaku silap bila di rasuk syaitan dan naik marah!” ujarnya.
Dalam pada itu Chef Wan berkata, ahli politik seharusnya dapat menerima kritikan secara terbuka dan rasa hormat.
Bagaimanapun, dia tidak mahu menjadi manusia yang tidak berterima kasih dengan tidak menghargai sumbangan Najib kepada negara ini.
Selain itu, Chef Wan turut meminta penyokong Najib tidak menjadi batu api berhubung kenyataan yang menjadi kontroversi itu.
“Saya telah buat silap dengan apa yang saya perkatakan semalam dan sekarang saya memohon maaf kepada DS (Najib) dan itu sahaja!
“Saya akan terus memperjuangkan apa yang betul,” ujar Chef Wan.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Chef Wan berkata mahu menampar muka Najib semasa hadir berkempen untuk Pakatan Harapan di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai pada Ahad.
Chef selebriti itu tidak merestui langkah Felda semasa ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah. Kata Chef Wan pemberian wang berkenaan tidak bermakna jika pada waktu yang lain kerajaan BN ‘merompak’ agensi terbabit sehingga bankrap.
Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.
“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Chef Wan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak sehingga Facebook Go Shop dimana dia menjadi duta turut diserang netizen. – mStar Online