TUTUP… Singapura beralih daripada isyarat televisyen analog kepada penyiaran digital atau DTV pada tengah malam 1 Januari bagi menyediakan gambar dan audio yang lebih bermutu.
Ini turut membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan sari kata berbilang bahasa dan panduan program elektronik menerusi frekuensi DTV teresterial yang lazimnya ditawarkan penyedia televisyen kabel.
Ia sekali gua menjadikan Singapura antara negara-negara terbaharu beralih kepada DTV selepas Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan Korea Selatan, sejajar dengan trend penyiaran global.
Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) menerusi kenyataan media semalam menyatakan bahawa lebih 90 peratus isirumah di seluruh Singapura sudah beralih kepada sistem DTV.
Timbalan Ketua Eksekutif bagi Dasar, Pengawalan dan Pembangunan Persaingan IMDA, Aileen Chia berkata, “pihak IMDA sudah buka kaunter DTV di kesemua 106 kelab masyarakat merata Singapura bagi bantu penduduk.
“Kaunter dibuka dari jam 2 petang hingga 9 malam sehingga 6 Januari. Kaunter ini disambut baik penduduk. Kami galak mereka yang belum lagi beralih atau perlu bantuan supaya kunjung kaunter ini untuk dapat bantuan.”
Di samping itu, para penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang belum lagi beralih kepada DTV, masih boleh mendapatkan Kit Permulaan DTV secara percuma sehingga 31 Mac 2019.
IMDA menyatakan bahawa lebih 470,000 keluarga sejauh ini sudah meraih manfaat daripada kit-kit sedemikian.
Stesen penyiaran tempatan, Mediacorp yang juga mengendalikan tujuh saluran televisyen percuma Singapura menyifatkan peralihan digital sebagai satu permulaan baik untuk tahun ini.
“Pada 2019, kami menawarkan pelbagai program yang kami percaya akan diminati penonton. Misalnya, 2019 adalah Ulang Tahun ke-200 Singapura. Ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-20 Channel NewsAsia.
“Kami ghairah untuk berkongsi tentang pelbagai program kami yang kami percaya akan diminati penonton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp, Tham Loke Kheng.
Revolusi digital tidak hanya terhad kepada televisyen malah turut meliputi peranti. Mediacorp mendapati semakin ramai pengguna menonton kandungannya secara online.
“Ya, sebenarnya semakin ramai orang menonton kandungan Mediacorp menerusi Toggle – khidmat hiburan digital kami. Mereka sebenarnya menggunakan Toggle menerusi peranti mudah alih, komputer, tablet, TV pintar, Apple TV dan Chromecast. Apabila anda menggunakan Toggle, anda boleh menonton saluran TV kami secara langsung.
Tetapi pada masa yang sama, anda boleh menonton kandungan kami menerusi video atas permintaan. Ia sangat membantu kerana anda boleh menyesuaikan waktu menonton dengan masa lapang anda,” tambah Tham.