SULTAN Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasyhurkan hari ini sebagai Sultan Pahang keenam, menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa pilu dan sedih ketika bertitah mengenai jasa dan pengorbanan Paduka Ayahanda dan Almarhum Bonda Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.
Baginda dilihat tidak dapat menahan rasa sebak serta mengesat air matanya dengan sehelai sapu tangan dan kesayuan tersebut jelas terpancar di wajah baginda.
“Lantaran itu, saya memohon agar sekalian rakyat jelata untuk menadah tangan ke hadrat Ilahi memohon apalah sudi kiranya juga dilindungi dan dirahmati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah.
“Sama-samalah juga sekalian rakyat jelata untuk turut memanjatkan doa kepada Almarhumah Paduka Bonda KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Hajah Afzan Tengku Muhammad,” titahnya.
Dalam nada sayu dan sebak, baginda turut berkongsi kenangan dibesarkan oleh bondanya yang disifatkan sebagai wanita cekal dalam mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Baginda bertitah bahawa Almarhum bondanya tidak pernah mempunyai sifat marah dan mengeluh dengan karenah putera puterinya serta sukar dicari ganti.
Suasana sayu itu turut dirasai bersama tetamu dan hadirin terdiri daripada kerabat diraja dan barisan kepimpinan kerajaan negeri pada Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam yang diadakan di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini. Istiadat bersejarah itu turut disiarkan secara langsung oleh RTM di TV1.
Sultanah Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut bersedih, termasuk kekanda Sultan Abdullah iaitu Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang apabila turut menyeka air mata ketika mendengar titah baginda itu.
Tanggal 15 Jan mencatat sejarah istimewa untuk rakyat Pahang apabila istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam dalam era moden disaksikan 1,600 tetamu kerabat diraja, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat yang berlangsung selama kira-kira sejam.
Pemasyhuran Sultan Abdullah sebelum ini diputuskan dan dipersetujui sebulat suara oleh kerabat diraja Pahang dan ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri pada mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang di ibu negara, Jumaat lepas.
Keputusan itu diambil berikutan keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah. – BERNAMA