PEKAN – Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang hari ini dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang berazam untuk mencapai kecemerlangan seperti mana ayahanda baginda dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri ini.
Tengku Hassanal dalam titahnya mengakui, ayahanda baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahdan dan nenda Sultan Ahmad Shah telah meletakkan penanda aras yang tinggi semasa bergelar Tengku Mahkota Pahang.
“Saya akui memang tinggi (penanda aras yang diletakkan ayahanda baginda) tetapi saya akan cuba sebaik mungkin. Saya masih muda dan masih belajar malah tidak pernah berhenti belajar untuk memperbaiki diri.
“Saya akan meneruskan legasi yang telah dimulakan oleh semua Tengku Mahkota Pahang sebelum saya seperti mana yang telah dititahkan Sultan. Ini juga adalah satu tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT untuk saya menjaga rakyat Pahang,” titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah demikian selepas berkenan menemui pemberita setelah istiadat pemasyhuran baginda selaku Tengku Mahkota Pahang di Istana Abu Bakar di sini hari ini yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah.
Dalam istiadat yang diadakan di Balairung Seri itu, putera sulung kepada Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang.
Ia berikutan ayahanda baginda Al-Sultan Abdullah telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuatkuasa Khamis ini.
Istiadat pemasyhuran Tengku Hassanal diadakan serentak dengan pemasyhuran Tunku Azizah sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dalam era Kesultanan Pahang moden.
Tengku Hassanal yang masih mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom bertitah, baginda akan kembali berangkat ke akademi itu pada 1 Februari ini sebelum menamatkan latihan pada akhir tahun ini.
“Mengenai pelaksanaan tugas sebagai Pemangku Raja Pahang sepanjang saya mengikuti latihan, belum ada keputusan lagi, Jumaah Pemangku Raja belum diisytiharkan dan saya menunggu nasihat ayahanda dalam hal ini,” titah baginda.
Mengenai istiadat pemasyhuran baginda hari ini, Tengku Hassanal menyifatkan istiadat itu sebagai satu peluang untuk memperkenalkan adat resam Melayu Pahang kepada rakyat Malaysia secara amnya dan rakyat negeri Pahang khasnya. – BERNAMA