SYUKUR… Ramli Mohd. Nor yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hari ini mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundinya.
Calon Barisan Nasional (BN) itu yang menang dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi turut mengucapkan terima kasih semua jentera komponen BN yang membantunya sejak hari pertama kempen bermula.
“Saya berjanji akan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di Cameron Highlands. Saya tidak mahu cakap panjang hari ini, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memilih saya.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera termasuk BN, PAS, MIC dan MCA yang bersungguh-sungguh membantu saya,” kata Ramli dalam nada agak terharu selepas diumumkan menang.
Bekas pegawai polis itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands di dewan besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah Tanah Rata malam ini.
Dalam pengundian pada hari ini, Ramli lakar sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat 12,038 undi menewaskan calon ‘kitar semula’ Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran yang sekadar raih 8,800 undi
Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib 314 undi manakala dan Wong Seng Yee 276 undi. – Agensi/Mynewshub.TV