KOTA BHARU – Perbuatan tidak bermoral mencuri duit tabung masjid terus berlaku dan terbaharu tindakan tiga lelaki memecah tabung rumah ibadat umat Islam itu di dua lokasi berasingan berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian di Masjid Ar Rahman Pangkal Kalong, Kok Lanas, di sini, dua lelaki tidak dikenali dirakam memasuki pekarangan masjid dengan sebuah motosikal dan mencuri wang dalam sebuah tabung pada 25 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, melalui rakaman tersebut, suspek dilihat mengait wang di dalam dua buah tabung dan berjaya melarikan wang kira-kira RM100.
Kejadian bagaimanapun hanya disedari pihak masjid selepas memeriksa rakaman CCTV kelmarin sebelum membuat laporan polis pada pukul 8.54 malam hari yang sama.
Menurutnya, polis sudah mengenal pasti suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan. – K! Online