MUNGKIN agak biasa dan nampak lucu namun ‘Malu Apa Bossku’ yang ditulis poster terpampang gambar Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki sebuah motosikal mulai tular sejak semalam.
Barang kali ia jadi slogan terbaharu bekas perdana menteri itu malah dalam hantaran terbaharu menerusi akaun sosial Facebook beliau, selain poster, Najib turut berkongsi gambar dirinya sedang menunggung motosikal.
Apa yang menariknya, model Yamaha Y150 itu turut papar nombor pendaftaran agak unik hasil gabungan aksara nombor dan angka 8O55KU seolah-olah jika dipandang sekali imbas ia jadi macam BOSSKU.
“Saya punya post (hantaran), ada pula yang panas. Kenapa? Steady lah (tenanglah),” tulis Najib secara sinis. Hantaran dalam tempoh sembilan jam itu bahkan dapat 46,000 reaksi, 6,600 komen dan 5,300 perkongsian.
Perkataan ‘bossku’ pada ketika ini secara kebetulan menjadi bahasa slanga paling popular dalam kalangan generasi muda tempatan di negara ini terutama mereka yang gemar menunggang motosikal.
“Tok kalau ada kesempatan hantaq mai (hantar datang) bengkel saya, saya setting exhaust (tala ekzos) dia bunyi chinggg ching chingg ching hannnnnnnnnnnnnnnnnnn chingggggg…,” saran Hafiz Sonof Halim.
“Sejak dua menjak ni Dato Seri pandai berjenaka. Tersenyum hari-hari saya tengok Dato Seri happy (gembira). Semoga dipanjangkan umur dan dmurahkan rezeki amin,” kata AhfiKk Tfs.
“Aduyai 10 kali lalu wall sepuluh kali aku gelak post bossku. Lawak serius lawakkkkkk!! Good job sir waiting for your comeback,” komen Zalikha Ramli.
“Sentiasa di hadapan. Steady BO55ku. Bagi asap kat macai biar sel sel otak mereka berhubung balik,” kata Mohd. Hisyam Sah Nuddin.
“Dah boleh buat himpunan santai #MaluApaBossku bersama DSN. Pasti ramai berminat join,” saran Shafiq Majid.
Pada 11 Januari lalu dalam satu hantaran, Najib juga bertanya kepada pelayar menerusi akaun Facebook itu antara motosikal jenis Ysuku dan NVX, mana satu menjadi pilihan mereka.
“Antara Ysuku dan NVX mana pilihan kalian? Ride santai,” tulis Najib.
Sebelum itu dalam satu hantaran Najib yang berkongsi gambar membonceng motosikal turut bertanya dalam nada sindiran: “Kaunter claim (tuntut) duit minyak Pakatan Harapan kat mana?”
Beliau jelas merujuk gelagat seorang wanita berbaju Pakatan Harapan hulur wang kepada beberapa Orang Asli konon sebagai duit untuk pengangkutan motosikal mereka. – Agensi/Mynewshub.TV