TEGAS… Setelah sekian lama berdiam diri bertolak ansur, UMNO mengesahkan writ saman sudah dihantar kepada dua Ahli Parlimen yang keluar parti itu baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang baru sahaja sertai PPBM.
“Peguam kita telah hantar writ saman kepada mereka berdua,” kata Annuar ketika ditemui media di program bersama belia di Tanah Rata, sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands malam tadi.
Sementara itu, Annuar mengesahkan bahawa pada masa ini, dia ada mendengar khabar enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti berkenaan akan kembali menyertai semula parti tersebut dalam waktu terdekat.
Beliau berkata perkara itu ada dibincangkan tetapi menyarankan media menghubungi individu berkenaan dan secara berseloroh Annuar berkata: “Borang belum sampai di meja saya.”
Pihak ibu pejabat UMNO ujar beliau, sebenarnya memahami situasi yang dorong enam individu berkenaan keluar parti malah menjelaskan: “Tidak sampai berpatah arang, berkerat rotan. Mereka semua kawan-kawan kita.”
Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 14 Disember lalu iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor).
Juga seorang bekas menteri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) selain Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah). – Agensi/Mynewshub.TV