GIRONA – Vinicius Junior mencuri tumpuan ketika membantu Real Madrid menang 3-0 ke atas Leganes yang membuka laluan selesa untuk ke suku akhir Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.
Vinicius, pemain berusia 18 tahun dari Brazil yang ditandatangani Madrid musim panas lalu, melengkapkan persembahan bertenaganya di Santiago Bernabeu dengan jaringan voli, gol ketiganya untuk kelab dan ketiga pasukan pada perlawanan itu.
Sebelum itu Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama dan Lucas Vasquez meledak gol kedua untuk memberikan kemenangan pertama buat Madrid tahun ini.
Dengan Leganes berdepan kesukaran untuk mengatasi defisit tiga gol pada aksi timbal balik minggu depan, pengendali Madrid, Santiago Solari berasakan apa yang penting bagi pasukannya adalah mereka berjaya mendapatkan kembali rentak berikutan dua perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi La Liga.
Penyokong Madrid, yang melambaikan sapu tangan putih ketika kalah kepada Real Sociedad Ahad lalu, turut menyaksikan penampilan sulung Brahim Diaz, pemain berusia 19 tahun yang masuk sebagai pemain gantian selepas berpindah dari Manchester City.
Bagaimanapun Vinicius yang paling bersinar. Penyerang itu menggunakan setiap peluang yang ada apabila mendapat bola di kawasan lawan dan tindakan penyudahnya juga membuktikan keupayaan teknikal serta bakat besarnya.
“Dia mengambil langkah yang besar,” kata Solari. “Dia memang mempunyai kebolehan itu tapi menggilap dan menunjukkannya di Bernabeu, di samping pemain hebat lain, membuktikan keyakinan dan keberaniannya.”
Pada perlawanan lain, Antoine Griezmann membantu Atletico Madrid membawa bekalan gol di tempat lawan apabila seri 1-1 dengan Girona pada aksi pertama pusingan 16 terakhir. – Agensi