MEWAH… Kononnya secara tersurat mahu tunjuk tidak salah guna aset kerajaan, namun secara tersirat, mesti ramai tertanya-tanya sinis, banyaknya ‘duit poket’ Tun Dr. Mahathir Mohamad!
Demikianlah gambaran awal suasana kehadiran Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang ‘terpaksa’ sewa helikopter pihak swasta untuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Secara mata kasar, bagi yang tidak tahu hujung pangkal cerita helikopter ini, tentu puji Mahathir, 93, kerana patuh kepada peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak eksploitasi harta kerajaan ketika berkempen politik.
“Undang-undang ini bukan sahaja dikenakan kepada parti lawan, malah parti kerajaan pun dikenakan undang-undang yang sama. Umpamanya saya tidak dibenarkan pakai kapal terbang RMAF (Tentera Udara Diraja Malaysia).
“Itu pesawat kerajaan punya, (maka) kenalah sewa helikopter swasta punya. Kalau pakai juga, maka salahlah,” dalih Mahathir ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Dataran Felda Sungai Koyan 1.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mungkin berjaya perdaya masyarakat Felda yang pada ketika ini marah kerajaan PH akibat pelbagai isu terutama kelewatan bayaran hasil tuaian kelapa sawit tertunggak dua bulan.
Apatah lagi, kawasan dilawati Mahathir itu ialah kubu kuat Barisan Nasional (BN) waima sambutan penduduk di situ lebih kepada parti lawan PH terutama ketika ceramah pada waktu malam dan tinjauan mesra sebelah siang.
Hakikatnya, untuk sewa helikopter bukanlah murah sebagai mana sewa kereta. Bahkan menurut sumber industri penerbangan tempatan, caj dikenakan lazimnya lebih RM6,000 sejam bergantung kepada model pesawat tersebut.
Jika untuk acara funfair atau pesta keramaian sukaneka pula, biasanya caj seorang penumpang dewasa perlu bayar RM330 dan itupun hanya membolehkan mereka sekadar berlegar-legar santai di ruang udara selama 15 minit.
Baca: PM Mampu Bergaya Kereta Mewah RM1.6 Juta
Juga: Hebat Mahathir Menginap Hotel Mewah Di NY
Untuk penumpang lima sekeluarga, sekiranya ikuti penerbangan pergi balik misalnya dari Subang ke Pelabuhan Klang yang mengambil masa selama sejam dengan jarak cuma 45 kilometer, kadar bayaran ialah sekitar RM6,400.
Bagi jarak jauh ke luar Lembah Klang, bayaran dikenakan adalah ikut masa perjalanan. Misalnya, dari Subang ke Kuantan, Pahang yang ambil masa selama hampir dua jam pula dikenakan caj RM12,000 untuk satu keluarga.
Ini kadar helikopter komersial jenis Helistar AS 350 B2 Secureuil dan model EC 120B Colibri yang masing-masing boleh bawa enam dan lima penumpang termasuk juruterbang dengan harga sebuah helikopter itu lebih RM8 juta.
Mahathir pula dilaporkan agensi berita rasmi kerajaan, BERNAMA; telah sewa helikopter mewah model Agusta Westland AW 139 milik firma Weststar Aviation Services (WAS) diterajui Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim.
Ditubuhkan sejak tahun 2003, WAS beroperasi di hub utama Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dengan miliki 45 buah helikopter termasuk jenis Eurocopter EC 120 Colibri, EC 135 Ecureuil dan AS 365 Dauphin.
BERNAMA tidak pula menyatakan kenapa Mahathir pilih syarikat itu semata-mata untuk beliau datang ke Cameron Highlands sama ada secara rundingan terus atau tender terbuka dan berapakah kos sewa sejam helikopter tersebut.
Namun, dengan gaji bulanan sebagai perdana menteri hampir RM23,000, setakat sewa RM6,000 sejam bukanlah isu besar; kecuali Mahathir buat tuntutan ‘duit minyak’ dari kaunter bilik gerakan PH sebagai belanja peribadinya.
Persoalannya, adakah beliau akan masukkan kos sewa helikopter eksekutif itu sebagai perbelanjaan calon PH atau guna ‘duit rakyat’ untuk naik pesawat mahal tersebut, tetapi bersandiwara tidak guna kenderaan rasmi kerajaan?
Hakikatnya, pengakuan Mahathir sendiri terpaksa patuh peraturan SPR pada PRK kali ini membuktikan bahawa beliau sebelum ini pun ‘kantoi’ sama pernah guna jentera kerajaan untuk kempen politik. – Agensi/Mynewshub.TV
*Video sekadar hiasan…