SHAH ALAM – Sebanyak 1,564 kes kemalangan termasuk 10 kemalangan maut yang melibatkan 11 kematian direkodkan dalam tempoh tiga hari Op Selamat sempena Tahun Baru Cina di Selangor bermula 29 Januari lalu.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Datuk K. Kumaran berkata, kadar itu meningkat berbanding tempoh yang sama pada Ops Selamat tahun lalu.
“Pada Op Selamat tahun lalu, kemalangan yang direkodkan sebanyak 1,350 kes melibatkan lapan kematian, tetapi pada tahun ini ia menunjukkan peningkatan dari segi kemalangan dan kematian.
“Polis Selangor akan mengatur strategi dan mengambil inisiatif bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan ke kadar paling minimum dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang sering berlaku kemalangan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Op Selamat ke-14 di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuh Raya Guthrie di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat. – BERNAMA