SEMENYIH – Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali hari ini diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dijadual berlangsung awal bulan depan.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PH merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.
Muhammad Aiman, 30, merupakan seorang jurutera yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini adalah PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14), dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung. – BERNAMA