SEORANG wanita warga emas kerugian RM2,000 apabila beg tangannya dilarikan seorang lelaki ketika sedang menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Setapak, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun menyedari beg tangan yang diletakkan di hadapannya dicuri setelah mendengar jeritan rakannya sebelum bertindak mengejar lelaki itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, DSP Muhammad Najib Hamzah berkata lelaki yang memakai jaket bertutup kepala itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek masuk melalui pintu tepi ruangan solat muslimat (wanita),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sjn Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau ASP M Hussin 017-2446363.
Rakaman CCTV berdurasi 46 saat yang memaparkan suspek masuk dari pintu ruangan solat muslimat dan mengambil beg tangan wanita ketika mangsa bersama jemaah lain sedang sujud kini tular di laman sosial. – BERNAMA