KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Supermoon iaitu bulan penuh paling besar dan dekat dengan bumi bermula pukul 11.53 malam ini.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Zahira Mohd Radzi berkata, fenomena itu berlaku apabila titik kedudukan bulan paling hampir dengan bumi dengan jaraknya sekitar 356,761 kilometer.
Beliau berkata, fenomena yang boleh dilihat dengan mata kasar itu mengakibatkan bulan kelihatan lebih besar dan jelas daripada biasa.
“Sebenarnya untuk tahun ini, fenomena ini berlaku tiga kali, yang pertama pada Januari lepas, kedua malam ini dan ketiga pada 21 Mac ini.
“Jadi bermula pada pukul 11.53 malam ini orang ramai boleh melihat bulan penuh paling besar dengan mata kasar sendiri bergantung kepada keadaan cuaca dan kawasan yang dilihat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. – BERNAMA