PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun sebanyak 5 sen seliter bagi tempoh bermula tengah malam ini hingga 8 Februari depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengguna akan menikmati harga runcit RON95 pada harga RM1.93 daripada RM1.98 seliter dan RON97 pada harga RM2.23 berbanding RM2.28 seliter sebelum ini.
Menurutnya, harga diesel kekal pada paras RM2.18 seliter untuk tempoh sama berdasarkan harga pasaran sebenar Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi minggu sebelumnya.
“Penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia yang didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.
“Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutamanya dari negara Republik Rakyat China, dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Guan Eng, sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga yang ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing- masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter. – K! ONLINE