PERSATUAN Hal Ehwal Wanita (HAWA) Labuan meningkatkan tekanan ke atas Perbadanan Labuan (LC) untuk menarik balik pembatalan diskaun sewa 50 peratus di premisnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini bermula Januari tahun ini.
Ini bertujuan membantu 163 penjaja tempatan yang 80 peratus daripadanya terdiri daripada wanita, yang mendakwa telah mengalami kerugian besar sejak mereka dipindahkan ke bangunan baharu.
Pengerusi HAWA, Fauziah Datuk Mohd Din berkata pembatalan diskaun sewa adalah tidak wajar pada masa ini disebabkan kelembapan ekonomi semasa di pulau itu.
“Kami telah mengadakan dialog dengan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Sentral (PPPKPS) dan sebilangan besar penjaja mengadu kepada kami mengenai masalah mereka.
“Para penjaja mengeluh kerana pendapatan mereka semakin merosot dan selalunya kami pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang pendapatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Fauziah berkata, para penjaja berharap diskaun sewa 50 peratus itu diteruskan selama dua tahun lagi dan disemak semula secara beransur-ansur selepas itu.
Beliau berkata 80 peratus daripada penjaja di bangunan UTC adalah wanita yang telah menjalankan perniagaan selama lebih dua dekad dan menambah sekurang-kurangnya lima penjaja yang mengalami kerugian sejak dipindahkan telah berhenti daripada berniaga.
Fauziah berkata Perbadanan Labuan seharusnya membantu penjaja dengan menganjurkan lebih banyak program dalam kompleks bangunan untuk menarik orang ramai ke pasar untuk membeli barangan dan bukannya membatalkan diskaun sewa.
Perbadanan Labuan minggu lepas mengumumkan penghapusan diskaun 50 peratus daripada sewaan RM400 yang diberikan sejak tiga tahun lepas atas alasan terpaksa menanggung bebanan kewangan RM300,000 setiap tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan bangunan pasar itu.
Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Sentral (PPPKPS), Abdul Haady berkata meskipun telah menandatangani kontrak pembaharuan sewa, kebanyakan penjaja tidak membayar kadar baharu yang dikuatkuasakan sepenuhnya pada Januari. – BERNAMA