KINABATANGAN – Seorang lelaki hilang semasa menangkap ikan menaiki bot di Sungai Segaliud, Kota Kinabatangan di sini malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.59 malam tadi selepas mangsa Mohamad Salim, 61, gagal pulang ke rumah.
Sebaik menerima panggilan kecemasan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan menggerakkan anggota ke tempat kejadian iaitu 14 km dari balai.
“Pencarian awal menjumpai bot mangsa dalam keadaan terbalik namun mangsa masih belum dijumpai,” kata dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan bomba di sepanjang sungai berkenaan bersama penduduk kampung, namun ditangguhkan pada 1 pagi tadi.
Operasi SAR akan disambung hari ini. – BERNAMA