SHAH ALAM – Anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu seorang petugas Institut Jantung Negara (IJN) bahawa beliau dipukul, Mahkamah Koroner di sini diberitahu hari ini.
Perkara ini didedahkan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib ketika beliau memberi keterangan sebagai saksi ke-14 dalam inkues berhubung kematian Adib.
Katanya, seorang daripada anggota pasukan perubatannya, dikenali sebagai Ashraf, yang merawat Adib semasa beliau dimasukkan ke IJN, memberitahunya bahawa dia (Ashraf) bertanya sama ada Adib ingat tentang peristiwa itu dan anggota bomba itu menganggukkan kepalanya.
“Ashraf juga memberitahu saya pada Hari Krismas (25 Disember) bahawa Adib turut menganggukkan kepalanya apabila ditanya sama ada dia dipukul.
“Beliau memberitahu saya perkara ini beberapa hari selepas Adib meninggal dunia pada 17 Disember tahun lepas dan saya memintanya merujuk kepada peguam kami kerana saya tidak tahu apakah tindakan selanjutnya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadini Khairuddin, yang juga pegawai pengendali inkues berkenaan, pada hari kesembilan prosiding itu.
Bagaimanapun, Dr. Mohamed Ezani berkata, Adib memberi jawapan yang berlainan semasa pegawai penyiasat polis (IO) datang menemu bualnya di hospital.
Fatin Hadni: Adakah kamu sedar bahawa seorang pegawai penyiasat datang untuk menemu bual pesakit ini?
Dr. Mohamed Ezani: Ya. Saya ada semasa temu bual itu.
Fatin Hadni: Apakah soalan yang ditanya oleh IO itu?
Dr. Mohamed Ezani: Beliau tanya Adib ingat tak apa yang berlaku? Dia (Adib) menjawab dengan menggelengkan kepala.
Fatin Hadni: Adakah kamu cuba berkomunikasi dengan pesakit?
Dr. Mohamed Ezani: Ya, antara hari kelima atau enam. Saya tanya kepadanya sama ada dia ingat apa yang berlaku tetapi dia juga menggelengkan kepala. Saya berhenti di situ dan tidak bertanya lebih lanjut. – BERNAMA