AMMAN – Setiap tahun dianggarkan 15 juta kehidupan zaman kanak-kanak remaja perempuan di seluruh dunia berakhir pada usia bawah 18 tahun, sebahagian besarnya ketika 15 tahun kerana terpaksa berkahwin pada usia terlalu muda.
Kemiskinan menjadi punca utama remaja perempuan berkahwin pada usia muda yang menurut UNICEF, menyebabkan mereka tidak lagi ke sekolah, secara tidak langsung mewarisi kemiskinan berpanjangan.
Rantau Asia Selatan mencatat statistik tertinggi, termasuk di Syria dan sejak perang bermula pada 2011, jumlah perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan pelarian Syria yang tinggal di Jordan, melonjak daripada 15 ke 36 peratus.
Perang mewujudkan kekecohan dalam keluarga, termasuk menjadi pelarian, dihimpit kemiskinan dan kebimbangan terhadap maruah serta keselamatan anak gadis menyebabkan mereka dikahwinkan secepat mungkin.
Jordan kini menjadi tempat tinggal lebih 650,000 pelarian Syria dan menurut UNICEF, perkahwinan kanak-kanak dalam kalangan pelarian terbabit bagaikan wabak.
Menurut laporan Al Jazeera, sejak perang Syria bermula pada 2011, jumlah perkahwinan kanak-kanak pelarian Syria di Jordan, melonjak daripada 15 ke 36 peratus.
Negara Eropah, termasuk Sweden dan Jerman yang menerima ramai pelarian Syria menghadapi dilema dengan masalah itu, sama ada membenarkan perkahwinan kanak-kanak atau memisahkan keluarga.
Menurut ICRW, pengantin muda biasanya menjadi mangsa keganasan rumah tangga, pergerakan terhad dan tiada hak membuat keputusan.
“Tidak kira apa alasan diberi keluarga, perkahwinan kanak-kanak adalah ‘pencabulan hak asasi dan sejenis keganasan terhadap remaja perempuan’,” kata ICRW.
Fatima ditunangkan beberapa hari selepas cukup umur 15 tahun dengan seorang pelarian Syria.
Sejak meninggalkan Aleppo enam tahun lalu, keluarganya sentiasa dalam kebimbangan, kelaparan dan miskin.
Dia berhenti sekolah pada usia 10 tahun dan menurutnya, jika berpeluang mahu menjadi doktor. Namun, Fatima kini ibu berusia 16 tahun kepada anak perempuan berusia lima bulan dan sedang hamil anak kedua.
Ola ditunangkan ketika berusia 13 tahun dan berkahwin setahun kemudian.
Impian melihat kehidupannya serta keluarga menjadi lebih baik tidak tercapai kerana suaminya tiada pekerjaan, hanya bergantung kepada keluarga menyebabkan dia dan suami sering bergaduh. – Agensi