PUTRAJAYA: Penyelenggaraan kereta sewa untuk kegunaan rasmi kerajaan kini dibuat secara tender terbuka selepas tempoh konsesi 25 tahun pemajakan kereta rasmi daripada Spanco Sdn Bhd (Spanco) berakhir.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata konsesi yang dimeterai pada 30 Oktober 1993 itu sudah berakhir pada 31 Disember lalu, dan kerajaan memberi lanjutan selama enam bulan kepada Spanco supaya dapat menjalankan tender terbuka kepada syarikat konsesi lain.
“Tender terbuka itu sudah dibuat dan tarikh akhir penghantaran dokumen untuk tender berkenaan berakhir hari ini (28 Februari). Kali ini kita buat secara tender terbuka, selepas penilaian pihak Kementerian Kewangan akan buat pengumuman mengenai hal itu.
“Disebabkan penyerahan dokumen untuk tender terbuka berakhir hari ini, kita tidak mengetahui jumlah sebenar syarikat konsesi yang mengemukakan tender terbabit,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek kepada Yayasan Restu ke arah Pengurusan Mencetak dan Menyebar Al-Quran oleh Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.
Pada tahun 2009, Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan membayar hampir RM125 juta kepada Spanco untuk menyelenggara 9,138 kereta sewa kerajaan.
Pada 2008, kerajaan membayar RM158 juta untuk penyelenggaraan 8,654 kereta.
Dalam perkembangan lain, Guang Eng berkata penetapan harga siling RON95 adalah salah satu cara kerajaan untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Katanya, subsidi yang ditanggung masih dalam kemampuan kerajaan hasil daripada penjimatan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mentadbir negara ini.
“Saya rasa kita mampu kerana kalau lihat dari prestasi yang sudah dicapai, kita ada sedikit penjimatan. Atas sebab itu pihak kerajaan umumkan untuk memberi Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk keluarga.
“Ini adalah daripada penjimatan dan hasilnya kita kongsi bersama rakyat. Pemberian ini hanyalah sebahagian daripadanya,” katanya.
Semalam Guan Eng mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menetapkan harga siling RON95 pada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini.