Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

MotoGP: Hafizh Harapkan Minggu...

SEPANG – Kedudukan 10 terbaik pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di...

Aceh Tetap Bantu Pelarian...

Aceh - Pihak berkuasa Aceh Utara bersedia menampung kehadiran pelarian Rohinghya selama mungkin...

Rogol Adik Kandung, Lelaki...

KUCHING – Mahkamah Majistret Samarahan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan...

Kabinet Bincang Banjir, Tidak...

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet hari ini hanya membincangkan persiapan menghadapi banjir tanpa menyentuh...

Kumpul 4,000 Botol Kaca Elak Pelancong Cedera

SETIU – Semuanya bermula dengan niat tidak mahu pelancong cedera terpijak kaca apabila berjalan atau bermain di kawasan pantai di Kampung Mangkuk, di sini.

Sikap prihatin Tengku Mohd Ali @ Tengku Enduk Mansur, 75, akhirnya menyebabkan warga emas itu kini memiliki lebih 4,000 koleksi botol dan mempunyai galeri sendiri, yang mana beliau menyimpan pelbagai koleksi botol hanyut yang dikutip sendiri di tepi pantai, dibeli daripada kanak-kanak serta pemberian orang ramai yang mengetahui minatnya itu.

Tengku Mohd Ali yang dikenali sebagai Tokki oleh penduduk kampung itu, berkata pada mulanya tidak terlintas langsung untuk menjadi pengumpul botol tetapi idea itu datang selepas melihat kanak-kanak di kampung itu memecahkan botol-botol yang hanyut ke pantai dengan meletupkannya menggunakan mercun.

“Saya tanya kenapa mereka pecahkan botol itu? Kesian dekat pengunjung yang datang ke pantai untuk bermain pasir kerana mereka mungkin cedera kena kaca. Saya nasihatkan mereka agar lepas ini jangan pecahkan botol dan jika jumpa botol, saya suruh mereka hantar ke rumah saya… saya akan bayar setiap botol itu.

“Botol saiz kecil saya bayar lima sen dan 10 sen untuk yang besar… saya tak sangka lepas tu berguni-guni botol dihantar ke rumah hingga isteri saya Jamaliah Kamaruddin, 67, salah faham dan ingat saya nak berniaga budu,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Penarik Baru di sini.

Tengku Mohd Ali berkata pada mulanya botol-botol yang dikutip itu mahu dibuangnya tetapi selepas melihat keunikan setiap botol-botol yang datang dari pelbagai negara itu, beliau mengambil keputusan untuk menyimpannya dan membuat koleksi.

“Saya beli rumah kosong di sebelah rumah saya daripada kakak saya dan jadikan rumah itu sebagai galeri. Pada tahun 2005 saya mula kumpul botol-botol yang ada ukiran dan bentuk berbeza… semua botol-botol itu saya dapat dari tepi pantai atau pemberian orang ramai… anak dan cucu saya juga mula menyokong minat saya dan bila jumpa botol yang menarik mereka akan bawa pulang untuk saya.

“Kini di galeri saya ada lebih 4,000 botol yang datang dari seluruh dunia antaranya Korea, Mexico, Perancis dan banyak lagi… sejak galeri rumah botol ini dibuka saya menerima banyak kunjungan daripada pelajar sekolah mahupun pelancong dari luar negara dan tempatan tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Bapa kepada sembilan cahaya mata itu, berkata setiap botol mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dengan ada antaranya telah hanyut di lautan hampir berbelas tahun termasuk botol yang mempunyai surat di dalamnya.

Beliau berkata ketika mencari botol kaca di tepi pantai berhampiran sebuah universiti awam di Kuala Terengganu lapan tahun lepas, beliau menemui sebiji botol berisi sepucuk surat yang ditulis dalam bahasa Korea dan meminta seorang pelancong Korea ketika itu untuk menceritakan kepadanya kandungan surat berkenaan.


Mengimbas kembali detik-detik awal usaha beliau mengumpul botol-botol terbuang, Tengku Mohd Ali berkata beliau pernah dilabel sebagai kurang siuman dan dianggap dipinggir anak-anak kerana mengutip botol di sepanjang pesisir pantai.

“Setiap pagi selepas hantar cucu ke sekolah saya singgah di pantai Penarik dan berjalan kaki di pesisir pantai hingga ke Pantai Telaga Papan (kira-kira 17 kilometer) untuk kutip botol… jika berjumpa dengan mereka yang kenal saya mereka akan tumpangkan saya balik ke rumah,” katanya.

Selain mengumpul botol, Tengku Mohd Ali turut mengumpul koleh kaca (mug), botol minyak wangi dan pelampung pukat yang diperbuat daripada kaca. Kesemuanya, kecuali botol minyak wangi, ditemui di tepi pantai.

Botol minyak wangi pelbagai bentuk yang dikumpul itu diperoleh daripada pelajar kolej ketika beliau bekerja sebagai penyelia di sebuah kolej di Setiu suatu masa dahulu.

Ekoran faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan, Tengku Mohd Ali kini tidak lagi dapat menguruskan galerinya sepenuh masa dan berharap ada dalam kalangan anak-anak mahupun cucunya yang akan meneruskan minat beliau.

“Jika mereka tidak mahu menguruskannya, saya minta mereka serahkan semua koleksi ini kepada pihak muzium untuk diuruskan,” katanya. – BERNAMA

Kategori