KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dijangka meraih pulangan lumayan dengan keuntungan sehingga RM5 bilion berikutan prestasi kewangan memberangsangkan empat bank utama di Malaysia.
Berdasarkan prestasi kewangan yang diumumkan minggu ini, PNB dijangka menerima dividen berjumlah RM3 bilion daripada Malayan Banking Bhd (Maybank), RHB Bank Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd.
KWSP pula berkemungkinan menerima dividen bernilai RM1.8 bilion daripada empat bank berkenaan, termasuklah Public Bank Bhd.
Dalam pada itu, PNB mempunyai pegangan terbesar dalam Maybank dengan penguasaan saham sebanyak 45.55 peratus. KWSP turut mempunyai kepentingan dalam semua empat bank itu yang mana pegangan saham terbesarnya adalah di RHB Bank pada 40.62 peratus diikuti CIMB (13.84 peratus), Maybank (12.85 peratus) dan Public Bank (11.77 peratus).
Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli, berkata jumlah pembayaran dividen yang lumayan itu menunjukkan bank berada dalam keadaan kewangan yang sihat dan bersedia berkongsi perolehan dengan pemegang saham.
āIni juga akan membuatkan harga saham mereka lebih stabil memandangkan institusi besar akan mengekalkan portfolio mereka dalam bank ini,ā katanya ketika dihubungi.
Maybank dan RHB mencatatkan rekod bagi keuntungan bersih 2018 dan menjangkakan untuk mengekalkan momentum berkenaan tahun ini.
Untuk itu, Maybank mengumumkan agihan dividen sebanyak RM6.3 bilion manakala, RHB pula meningkatkan polisi dividen lebih 30 peratus.
RHB akan membayar dividen sebanyak 36 peratus daripada keuntungan bersih yang dicatatkan pada 2018, tertinggi sejak 2003.
Public Bank pula merekodkan keuntungan bersih sedikit rendah berbanding sasaran namun, mengumumkan jumlah dividen sebanyak RM2.7 bilion, mewakili 47.9 peratus nisbah bayaran.
Berdasarkan data Bloomberg, CIMB Group yang akan membentangkan prestasi kewangannya hari ini, berkemungkinan mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM2.42 bilion, berdasarkan anggaran keuntungan bersih sebanyak RM4.746 bilion dan nisbah bayaran 51 peratus.
Jumlah keseluruhan aset di bawah pengurusan KWSP mencecah RM833.76 bilion di mana berdasarkan sektor, pegangan ekuitinya yang terbesar adalah dari sektor kewangan.
Berdasarkan nilai pasaran semasa, pegangan terbesar KWSP adalah Maybank, Public Bank, Tenaga Nasional Bhd, RHB dan CIMB. -BH ONLINE