SUNGAI PETANI – Kaum lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2013 hingga 2017, 257 lelaki dilaporkan menjadi mangsa daripada keseluruhan 1,218 kes gangguan seksual.
“Selebihnya adalah mangsa wanita, memang ada kes gangguan seksual ini melibatkan lelaki yang kadang kala mangsa malu untuk membuat laporan kerana takut ada yang tidak percaya yang mereka lelaki pun menjadi mangsa gangguan seksual ini. Ini antara halangan dihadapi mangsa untuk buat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar ‘Pengendalian Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Dr. Mohd Bakhari Ismail.
Hannah berkata, sehubungan itu laporan oleh pengadu tentang gangguan seksual berkenaan tidak boleh diabaikan sebaliknya perlu diberikan perhatian serius supaya siasatan lanjut dapat dijalankan sebaik mungkin. – BERNAMA