SUBANG JAYA – Rombongan Mahkamah Koroner bersama saksi-saksi tiba di persimpangan USJ16/7 di sini bagi melihat sendiri gambaran sebenar kejadian yang menimpa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim pada malam 27 November lalu.
Rombongan itu diketuai Koroner, Rofiah Mohamad dan Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah serta Zhafran Rahim Hamzah.
Rombongan itu tiba kira-kira pukul 11.20 pagi tadi dengan kawalan daripada polis.
Ketika ini, rombongan itu diberi penerangan tentang situasi sebenar yang berlaku pada malam itu.
Mereka melawat tempat berlakunya kebakaran kereta sebelum ditunjukkan lokasi jentera Fire Rescue Tender (FRT) berhenti dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di jalan itu.
Ketika prosiding inkues semalam, saksi kedua, Md. Elliza Mohd. Noor berkata, beliau yang memandu jentera FRT itu berhenti di persimpangan USJ16/7 bagi memadamkan kebakaran.
Bagaimanapun, sekumpulan lelaki melebihi 50 orang datang mendekati jentera itu sambil melontarkan objek keras ke arah jentera itu.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang pada awalnya dijangka menyertai lawatan ini dinasihatkan untuk tidak mengikut rombongan berkenaan atas beberapa faktor.
Insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25 di sini pada 27 November lalu mengakibatkan Muhammad Adib terkorban selepas 21 hari bertarung nyawa susulan cedera parah dipercayai dipukul. – K! ONLINE