DALAM kesibukan menjelajah mempromosikan buku biografinya, bekas wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama mengadakan kemunculan istimewa pada majlis Anugerah Grammy 2019.
Wanita yang sangat disenangi oleh rakyat AS itu tampil bersama-sama selebriti Lady Gaga, Jada Pinkett Smith dand Jennifer Lopez di pentas anugerah berpengaruh itu.
Michelle, 55, dan ketiga-tiga artis popular itu bercakap mengenai peranan muzik dalam kehidupan mereka.
Ketika memperkenalkan segmen kemunculan istimewa itu, hos Anugerah Grammy 2019, Alicia Keys berkata: “Muzik merupakan perkara yang kita cinta, muzik adalah segala-galanya. Saya sangat berbangga untuk membawa anda semua bersama-sama untuk menghargai detik ini.”
Sumber memberitahu media bahawa kehadiran Michelle ke majlis berkenaan juga atas dasar persahabatannya dengan rakan-rakan industri hiburan khususnya Keys.
Menurut sumber juga, Keys sudah beberapa kali dilaporkan berkunjung ke White House ketika suami Michelle, Barack Obama menerajui pentadbiran AS.
“Mereka (Michelle dan Keys) mempunyai hubungan yang sangat baik. Bahkan, Michelle juga mahu memberi sokongan pada Keys,” kata sumber itu lagi.
Dalam ucapan ringkas yang diberikan pada malam anugerah itu, Obama berkongsi aspirasinya mengenai muzik yang menarik perhatian penonton.
“Muzik sentiasa membantu bercerita mengenai hal saya dan saya tahu ia juga berlaku pada semua orang di sini,” kata Michelle lagi. – Agensi