SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menghalang One City Development Sdn. Bhd., pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.
Plaintif juga memohon antara lain perintah untuk menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017 yang diperoleh oleh One City Development.
Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai “locus standi” di bawah Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan saman.
“Saman ini dihalangi oleh batas doktrin res judicata dan membenarkan perintah berhubung permohonan plaintif bererti membenarkan pelanggaran dua perintah mahkamah secara berterusan,” katanya.
Selain One City Development, plaintif juga menamakan K. Chellapan yang disaman sebagai pegawai awam bagi pihak jawatankuasa pengurusan kuil; Sime UEP Properties Bhd.; pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.
Hakim Kian Kheong juga menolak dengan kos permohonan plaintif untuk menangguhkan semua prosiding dalam saman itu sementara menunggu campur tangan oleh Peguam Negara untuk menyelesaikan secara aman semua perkara berkaitan kuil.
“Plaintif gagal menunaikan kewajipan untuk meyakinkan mahkamah bahawa wujud situasi khas dalam kes ini untuk menjustifikasi penangguhan pelaksanaan perintah.
“Campur tangan Peguam Negara adalah tidak berupa situasi khusus untuk menangguhkan saman kerana saman ini berkaitan tanah yang didaftarkan atas nama defendan kelima (One City Development).
“Pemilikan dan hak defendan kelima terhadap tanah telah diperuntukkan oleh Kanun Tanah Negara, sesungguhnya hak milik defendan kelima ke atas tanah itu dijamin oleh Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Kanun Tanah Negara dan undang-undang bertulis yang lain, Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa ke atas tanah atau mana-mana ‘tanah milik’ untuk perkara itu, “ katanya. – BERNAMA