KOTA BHARU – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyarankan agar pengurusan rumah ibadat di seluruh negara memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing jika berkemampuan.
Mohamad Fuzi berkata, langkah berkenaan boleh membantu siasatan polis jika berlaku sebarang insiden membabitkan penghinaan terhadap agama masing-masing.
“Kalau terjadi perkara yang tidak diingini ia boleh membantu polis untuk mengesan individu yang tidak bertanggungjawab. Ia mungkin melibatkan kos yang tinggi tapi kita sarankan pengurusan rumah ibadat supaya memasang CCTV di premis masing-masing.
“Kebanyakan rumah ibadat di seluruh negara masih tidak mempunyai kemudahan tersebut sekali gus menyukarkan siasatan jika berlaku sebarang insiden sensitif membabitkan agama masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan kepada 174 pegawai dan anggota dari negeri ini yang turut dihadiri Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan. – BERNAMA