KUALA LUMPUR – Rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam lif dipaparkan terus kepada kakitangan bertugas sebagai langkah pencegahan tambahan susulan insiden ragut di stesen MRT Taman Mutiara baru-baru ini.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, paparan itu di pratetapkan pada skrin utama agar sebarang kejadian dapat dilihat dan diketahui dengan lebih cepat.
“Anggota pasukan tindakan khas (SAT) juga telah ditambah di beberapa lokasi panas. Pasukan SAT adalah unit khas yang ditubuhkan Jabatan Sekuriti Prasarana dan berpakaian preman ketika melakukan rondaan di kawasan seliaan Rapid KL,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Rapid KL memberikan kerjasama erat dengan pihak polis bagi membantu siasatan berkenaan insiden itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga telah diserahkan kepada pihak polis pada pagi hari kejadian.
“Matlamat utama pengendali pengangkutan awam ini adalah membantu pihak polis untuk memberkas penjenayah tersebut,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap keselamatan diri, terutamanya di tempat awam serta mengelak ke laluan atau tempat yang sunyi.
“Pengguna pengangkutan awam kendalian Rapid KL boleh mendapatkan perkhidmatan pengiring untuk ke tempat parkir sekiranya kawasan tersebut sunyi atau sekiranya memerlukan sebarang bantuan,” tambah kenyataan itu. – BERNAMA