MACHANG – Hasrat tiga sepupu bersiar-siar di sekitar kampung pagi tadi berakhir dengan tragedi, apabila seorang daripada mereka maut tertusuk batang buluh di leher, di Kampung Bonggol Bukit Sawa, Bukit Bakar di sini hari ini.
Mangsa Mohd. Asri Ajeman, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan teruk pada 9 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Asisten Superintendan Mohd. Shamsuri Mohd. Zain berkata, semasa kemalangan pada 9 pagi itu, Allahyarham Mohd. Asri membonceng motosikal yang ditunggang saudara sepupunya Mohd. Fitri Rosdi, 18, manakala seorang lagi sepupu mereka yang menunggang motosikal berasingan berada di belakang.
Katanya, sebaik tiba di tempat kemalangan mereka bertembung dengan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki yang mengandar batang buluh di bahunya.
“Mohd. Fitri cuba mengelak motosikal berkenaan tetapi bahagian hadapan buluh berkenaan tertusuk ke leher Mohd. Asri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Shamsuri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara cuai menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu Mohd. Fitri berkata, dia nampak banyak mengalir di leher Mohd. Asri.
“Saya sempat mengajar Allahyarham Mohd. Asri mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia,” katanya.
Mohd. Fitri yang masih trauma dengan kejadian berkata beliau tidak sangka akan kehilangan sepupu yang paling rapat sekelip mata,” katanya. – BERNAMA