Pelakon, Sangeeta Krishnasamy akan menerbitkan filem, Adiwiraku 2 yang mengangkat kisah benar seorang guru sukan di sebuah sekolah di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Tidak melihat Adiwiraku 2 sebagai kesinambungan filem pertama, Sangeeta berkata, ia sebaliknya menampilkan jalan cerita baharu yang lebih menyentuh perasaan.
“Saya juga tidak akan berlakon dalam Adiwiraku 2, sebaliknya hanya berada di balik tabir bersama pengarah dan penerbit asal, Jason Chong serta Eric Ong untuk belajar proses pembikinan filem.
“Penggambaran akan dilakukan pada Mei dan Jun ini ketika cuti persekolahan. Kami akan mencari pelakon dalam kalangan pelajar dari kampung asal, sama seperti Adiwiraku.
“Sesi pemilihan itu akan dilakukan pada minggu ini,” katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Skrip Skrin 2018, di sini.
Menyifatkan Adiwiraku 2 sebagai karya yang menyentuh emosi, Sangeeta berkata, skrip tulisan Jason itu dihasilkan dengan lebih terperinci dan penuh penghayatan.
Mereka juga masih mencari pelakon yang sesuai untuk membawa karakter Cikgu Azman.
“Cerita ini lebih menyentuh hati. Bayangkan, baru sahaja membaca skrip, saya sudah menangis. Saya juga akan bertemu Cikgu Azman untuk lebih mengenalinya sebelum memilih pelakon yang sesuai membawakan watak itu.
“Ketika ini, saya menumpukan perhatian kepada pembikinan Adiwiraku 2 dan selepas itu, baru bersedia untuk berlakon semula dalam Adiwiraku 3.
“Banyak cerita yang memberi inspirasi boleh diangkat ke layar lebar. Itu yang cuba kami lakukan sekarang,” katanya.
Melihat penjenamaan Adiwiraku yang mendapat tempat dan dekat di hati penonton, Sangeeta berkata, dia berhasrat menyambung kisah Cikgu Cheryl dalam siri televisyen.
“Ramai yang bertanya bila sambungan Adiwiraku kerana mereka ingin tahu kisah Cikgu Cheryl selepas itu. Kami bagaimanapun, tidak merancang untuk menghasilkan filem, sebaliknya dijadikan sebagai siri.
“Banyak yang kami belajar daripada Adiwiraku dan pengalaman itu digunakan dalam karya kedua dari segi promosi dan pembikinan. Kita juga mempunyai pelabur yang akan membantu membawa filem ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Adiwiraku yang diterbitkan pada Mac 2017 meraih anugerah Filem Terbaik dan Cerita Asal Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM 29), manakala Sangeeta diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik. -BH ONLINE