KUALA LUMPUR: Meskipun single terbarunya, Temberang mencatat lebih 12 juta tontonan di YouTube, Ayda Jebat tetap dengan pendirian untuk tidak mempertaruhkan lagu itu dalam musim terbaru Muzik Muzik.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat berkata, lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu dirakamkan sekadar hiburan, selain menambahkan lagi warna kepada industri muzik.
āSaya memang tidak berhasrat mencalonkan lagu ini dalam musim terbaru Muzik Muzik kerana ia dirakam bukan untuk dipertandingkan.
āInsya-Allah, jika saya bersedia untuk bersaing semula, saya akan kembali dengan lagu lain. Tidak timbul saya berkecil hati atau merajuk disebabkan kontroversi sebelum ini, jangan salah faham,ā katanya.
Penyanyi yang juga pelakon itu pernah mencetuskan kontroversi apabila meminta penjelasan juri selepas lagu nyanyiannya, Mata gagal mara ke acara kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-32.
Tindakannya itu membuatkan ramai pihak beranggapan dia tidak profesional apabila mempertikai tugas juri, sedangkan Ayda menegaskan, dia berbuat demikian untuk memperbaiki persembahannya pada masa akan datang.
Ditemui pada majlis pelancaran produk Anas Cosmetic, Ayda yang turut dilantik sebagai duta bersama Rozita Che Wan juga teruja kerana bakal muncul dengan album sulung.
Ayda berkata, album itu bakal memuatkan 10 lagu dan ketika ini, dia sudah menyiapkan rakaman enam lagu yang sebahagiannya disempurnakan di Jakarta, Indonesia.
āPembikinan album ini sudah dirancang sejak tahun lalu, malah saya turut menulis beberapa lagu. Saya turut bekerjasama dengan komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak menghasilkan lagu balada.
āSebelum ini, kami pernah bekerjasama dalam lagu Nakal Nakal Nakal.
Insya-Allah, lagu balada itu akan dipromosikan terlebih dulu kerana ia menjadi runut bunyi drama lakonan saya yang dijangka disiarkan pada 8 Mac ini.
āSaya akan kembali ke Jakarta dalam masa terdekat untuk melunaskan proses rakaman album ini. Perancangannya ia akan muncul selepas sambutan raya nanti,ā katanya. -BH ONLINE