SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiada adegan pergaduhan sebaliknya hanya tarik-menarik dalam insiden yang berlaku ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengendali laman web Papagomo, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kes tersebut tidak begitu serius sehingga berlaku pergaduhan dan sebagainya.
“Berlaku salah faham dan berlaku tarik-menarik. Kita rasa Papagomo (Wan Muhammad Azri) boleh diberikan jaminan (polis) hari ini sehingga siasatan selesai.
“Kita juga akan memastikan siasatan ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Beliau menambah, pihaknya perlu mengesan beberapa saksi lain bagi melengkapkan siasatan tersebut (kerana berlaku di tempat awam).
“Sekiranya kita merasakan saksi mencukupi, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan (dakwa atau tidak),” katanya.
Wan Muhammad Azri yang merupakan Exco Pemuda UMNO sebelum ini direman selama tiga hari bermula Isnin lalu sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes serangan ke atas Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.
Dalam kejadian pukul 10.45 pagi pada Sabtu lalu, Syed Saddiq didakwa diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang semasa hari penamaan calon PRK Semenyih. – K! ONLINE