JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan rancangan membina Universiti Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (Uhamka) di Pagoh pada masa akan datang.
Baginda bertitah pendirian itu kerana agama Islam adalah di bawah tanggungjawab negeri iaitu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
“Kedua, fahaman ini bercanggah dengan fatwa negeri Johor Darul Takzim. Pastinya akan berlaku kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat sekali gus boleh menyebabkan perselisihan antara umat Islam di Johor,” titah Tunku Ismail dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda, HRH Crown Prince of Johor, semalam.
Laporan akhbar tempatan, Utusan Malaysia pada 18 Julai tahun lepas menyebut Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyokong pembinaan kampus luar negara pertama universiti itu di Malaysia.
Sokongan dinyatakan ketika Pengurus Pusat (PP) Muhammadiyah Indonesia, Prof. Dr. Suyatno bertemu dengan Maszlee di Putrajaya, sebelum itu.
Sebelum bertemu Maszlee, pengurusan PP Muhammadiyah juga bertemu Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Siti Hamisah Tapsir.
Ketika ini, Universiti Muhammadiyah memiliki lebih 10,000 warga pendidikan yang mengelola 173 kampus di seluruh Indonesia yang terdiri daripada 45 universiti dan selebihnya adalah sekolah menengah, akademi dan politeknik. – BERNAMA