PETALING JAYA – Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan kegagalan Kabinet dalam menangani isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat, kata Datuk A Kadir Jasin.
Penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri itu berkata, selepas 8 bulan Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya, pentadbiran 4 parti itu belum menampakkan hasil yang boleh dirasai rakyat.
“Yang tersurat adalah Dr. Mahathir memerlukan sebuah badan khas bagi meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal-hal penting dan segera mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.
“Yang tersirat adalah perdana menteri secara langsung mengakui jentera sedia ada, khususnya Kabinet, tidak memadai bagi menangani isu-isu yang disebutkan itu.
“Kita tidak perlulah berpura-pura kerana hendak menjaga hati sesiapa atau mana-mana pihak,” tulisnya dalam blognya hari ini.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang bertujuan merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan yang saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, majlis itu ditubuhkan untuk bertindak ke atas maklum balas dan masalah dihadapi rakyat, khasnya berkaitan ekonomi dan ia juga akan meneliti isu kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.
Hari ini, Kadir menasihatkan anggota Kabinet lebih kerap turun padang mendengar masalah rakyat serta mengurangkan catatan remeh-temeh di media sosial kerana semakin ramai rakyat kecewa dengan prestasi kerajaan PH dan perdana menteri sendiri tidak terlalu puas hati dengan prestasi menterinya.
“Boleh kata setiap kali beliau (Dr. Mahathir) bersemuka dengan orang ramai dan wartawan, beliau ditanya berkenaan menteri yang tidak cekap, amat jarang melawat rakyat, asyik berswafoto dengan pegawai-pegawai sendiri, susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal peribadi.
“Saya lihat dengan mata kepala sendiri, menteri disambut macam raja oleh pegawai menteri dan dikawal rapi polis apabila turun padang sehingga susah untuk rakyat menghampiri mereka.
“Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlo.”
Katanya, media sosial yang membantu kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu boleh menjatuhkan gabungan itu, jika anggota Kabinet tidak memperbaiki prestasi mereka.
“Amat tidak bertanggungjawab dan dangkal sekiranya mengharapkan perdana menteri menyelesaikan dan membersihkan semua najis yang dilakukan menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.
“Baliklah selalu ke kawasan atau negeri dan kurangkanlah sikit tabiat tidak berada di kawasan supaya tidak dituduh malas atau curi tulang.”
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu berkata, 3 aspek yang akan menentukan PH lulus atau gagal mentadbir negara, iaitu kos sara hidup, pekerjaan dan keselamatan.
“Tak guna kita bercakap mengenai hal-hal yang tinggi melangit, kalau perkara-perkara asas seperti harga dan bekalan makanan, pengangguran, pengangkutan, pelajaran, kesihatan dan perumahan rakyat jelata tidak ditangani dengan lebih baik daripada kerajaan dahulu.” – FMT