SEMENYIH – Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Kuan Chee Heng berhasrat mewujudkan Pasar 10 sen bagi mengurangkan beban masyarakat tempatan.
“Kita mungkin boleh buat Pasar 10 sen supaya kita boleh kongsi rata dengan semua masyarakat di sini, khususnya mereka yang tidak berkemampuan.
“Di Semenyih ini, ada yang tak mampu nak ke hospital, tiada tambang nak ke hospital dan lain-lain… kita mulakan dengan memberi kemudahan asas’,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Media PRK DUN Semenyih di Beranang di sini hari ini.
Pada PRK Semenyih, Kuan yang dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ berdepan saingan empat penjuru menetang calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi awal 26 Februari, manakala hari pengundian pada 2 Mac. – BERNAMA