VIDEO seorang bayi yang dilambung dengan memegang kakinya dalam satu persembahan jalanan di Kuala Lumpur, membangkitkan kemarahan di media sosial.
Menerusi video berdurasi 90 saat yang dimuat naik oleh Zayl Chia Abdulla di Facebook, menunjukkan seorang lelaki warga asing dilihat memegang bayi berkenaan di bahagian kaki dan mengayunkan bayi tersebut di sekitar dan di atas kepalanya.
Lelaki yang memakai baju putih dan seluar pendek dan mengayunkan bayi itu, dikatakan merupakan sebahagian daripada sekumpulan warga asing, di mana aksi tersebut disaksikan orang ramai.
Menurut Zayl, kejadian berlaku di Changkat Bukit Bintang.
Namun tidak dipastikan apakah hubungan bayi itu dengan kumpulan tersebut.
Zayl menyatakan bahawa dia berada di kawasan itu semasa menyaksikan “tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan kecederaan kepada bayi.”
Dia mempersoalkan mengapa tindakan sedemikian dibenarkan dan menggesa agar tindakan diambil berhubung kejadian tersebut.
Video yang ditonton lebih 11,000 kali pada Ahad (3 Februari) itu, menerima komen-komen menyuarakan kemarahan mereka, dengan kebanyakannya mengutuk perbuatan itu.
Facebook juga mengeluarkan amaran bahawa “video ini mungkin menunjukkan keganasan terhadap kanak-kanak atau remaja.”
Di ruangan komen, Zayl juga mendakwa bahawa “orang ramai menjerit meminta ia dihentikan, tetapi dia hanya berlagak seperti biasa seolah-oleh tiada apa yang berlaku. Dan polis? Mereka di mana-mana, tetapi tiada seorang orang pun yang mempedulikannya maka saya berkongsikan perkara ini.”
Mohamed Usman tampil memberi komen, “Kali pertama saya melihatnya di kawasan BB… Saya akan menghubungi polis mengenainya. Ini amat keterlaluan!”
The Star Online telah menghubungi Zayl untuk mendapatkan komen, tetapi masih belum menerima maklum balas.
Berdasarkan semakan mendapati aksi itu menyerupai apa yang dipanggil “gimnastik dinasti” atau “yoga bayi”.
Amalan mengayunkan bayi ini muncul di YouTube seawal 2011.
Dipercayai bahawa amalan tersebut yang dianggap kontroversi, dibenarkan di Rusia. – The Star