KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menyaksikan pameran ‘The Monarch’ yang diadakan di Galeri Prima, Balai Berita, Bangsar, di sini.
Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar mencatatkan nama baginda di buku pelawat galeri sebaik tiba kira-kira 11 pagi.
Baginda berdua seterusnya menyaksikan seluruh pameran berkenaan, sebelum meneruskan lawatan ke Jabatan Pengarang New Straits Times Press (NSTP).
Pameran yang berlangsung sejak 2 hingga 20 Februari itu menampilkan 81 gambar dan salinan artikel mengenai pemerintahan beraja itu yang dianjurkan sempena meraikan pemasyhuran Al-Sultan Abdullah yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas.
Lebih istimewa, pameran itu turut menyediakan bahagian khas yang hanya menampilkan pameran berkaitan Al-Sultan Abdullah.
Hadir sama mengiringi baginda berdua semasa lawatan itu ialah Pengerusi Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad; Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Mustapha Kamil Mohd Janor.
Pameran yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini dibuka setiap hari, kecuali cuti umum, mulai pukul 10 pagi hingga 6.00 petang pada Isnin hingga Jumaat manakala 10 pagi hingga 5.00 petang pada hujung minggu.
Sementara itu, Pengurus Galeri Prima Azlin Aziz berkata selain bersempena pemasyhuran Al-Sultan Abdullah, pameran ini juga adalah untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran masyarakat kepentingan institusi beraja di negara ini.
“Kebanyakan pameran ini adalah dari arkib NSTP tetapi ada juga yang diambil dari Istana Negara dan Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata gambar bertarikh paling lama di dalam pameran ini ialah ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad bersama Raja Permaisuri Agong pada ketika itu, iaitu pada 4 September 1957. – BERNAMA